Rakan Alam Maya

October 16, 2010

Rawat Mata Juling

Salam sabtu buat teman dan pembaca yang singgah disini. Pernah tak kita terfikir bagaimana rasanya jika anak yang kita lahirkan dalam keadaan normal tiba2 menjadi cacat? Mungkin apa yang berlaku pada anak sulung saya ini sudah ketentuan takdir dan saya redho dengannya. 
 Anak yang dikandung dan dilahirkan dengan sempurna, kini ketika melalui usia yang sangat muda iaitu lapan tahun tiba2 mengalami penyakit juling. Memang apa yang berlaku pada anak saya tidak saya perasan sehingga suatu hari cikgu bahasa melayu yang mengajarnya telah menegur anak saya dengan mengatakan kepala anak saya senget dan mata juling. Perasaan anak saya sangat sedih, dia banyak termenung dan menangis setelah mendengar pernyataan cikgunya itu, lalu dia bertanya kepada saya "Mama, tengok kepala kakak ni senget ke? mata kakak ni juling ke?" pada mulanya saya menafikan pertanyaan anak saya itu tetapi apabila dua tiga kali dia bertanya dan apabila saya amati betul2 sah apa yang dikatakan cikgunya itu betul. Hati saya tiba2 menjadi sayu dan sangat sedih, anak saya turut menangis kerana sedih mengenangkan keadaan dirinya. "Kakak tak mahu cacat ma, kakak takut, katanya sambil menangis". Saya terus memeluk dan menenangkannya. 
 Isnin lepas saya telah membawa anak saya ke Klinik Kesihatan Batu Pahat untuk mendapatkan rawatan. Setelah membuat rawatan "test mata" memang mata kanan anak saya rosak dan mungkin saraf matanya juga terganggu menyebabkan matanya menjadi juling. Doktor yang merawat anak saya suruh anak saya menjalani rawatan mata di pakar mata. 25 oktober ini anak saya akan menjalani rawatan tersebut. Saya sekadar untuk berkongsikan apa yang berlaku dan sebagai ibubapa seringlah perhatikan tingkahlaku anak kita yang mungkin kita terlepas pandang tentang kesihatannya.

JULING antara masalah mata yang kerap berlaku, terutama pada kanak-kanak.Walaupun ada orang menganggap juling sebagai tanda tuah, hakikatnya iaboleh menjejaskan penglihatan dan jika dibiarkan, masalah ini boleh bertambah teruk apabila meningkat dewasa. Antara persoalan yang sering diajukan ialah:

1. Apakah masalah yang mungkin dihadapi seseorang yang
mengalami kejulingan?

Masalah kejulingan bukan saja menjejaskan keupayaan mata untuk melihat dengan jelas, malah mencacatkan rupa Paras yang secara tidak langsung mempengaruhi serta merendahkan keyakinan diri seseorang. Mereka berasa rendah diri dan malu berdepan masyarakat.
2. Jika seseorang itu juling sejak lahir, apakah kejulingannya boleh dirawat?

Ya. Kejulingan boleh dirawat dan jenis rawatan bergantung kepada punca kejulingan. Ada yang dapat dirawat dengan cermin mata dan ada yang memerlukan pembedahan. Pembedahan pada otot untuk membetulkan kedudukan mata boleh dilakukan.
3. Adakah rawatan, termasuk pembedahan, dibolehkan Islam?

Ya, boleh kerana kejulingan adalah penyakit, oleh itu ia harus dirawat. Dalam hal ini, jika kecacatan (juling) seseorang menimbulkan rasa rendah diri, ada keharusan untuk melakukan pembedahan mata.
4. Apakah juling boleh menyebabkan gangguan penglihatan?
Jika juling hanya berlaku pada sebelah mata, keadaan ambliopia atau 'mata malas' boleh berlaku. Ambliopia terjadi kerana kerosakan penglihatan dalam beberapa tahun pertama umur kanak-kanak seperti mata juling, mata berselaput, rabun jauh dan penglihatan kabur. Ketika tahap pembentukan, mata perlu ada imej jelas di bahagian retina untuk membolehkan kedua-dua mata dan otak memproses imej dengan betul.

Kejulingan berlaku apabila kedudukan bola mata tidak selari. Ada yang juling ke arah keluar dan ada ke dalam. Ia boleh berlaku pada sebelah mata saja atau secara berganti-ganti iaitu mata kanan dan ada kalanya berubah ke mata kiri.
5. Apakah punca kejulingan?
Dua punca utama menyebabkan masalah kejulingan iaitu:
* Faktor semula jadi yang mana seseorang itu mengalaminya sejak lahir
* Apabila saraf yang mengawal pergerakan mata yang terletak di bahagian
otak manusia rosak atau penyakit otot yang mengawal pergerakan bola mata
6. Apa patut dilakukan ibu bapa yang ada anak juling?
Ibu bapa yang mendapati mata anak juling sejak lahir perlu memerhatikan keadaan juling itu sehingga kanak-kanak itu berumur enam bulan. Jika berlarutan, kanak-kanak itu perlu dibawa berjumpa doktor untuk dibuat pemeriksaan. Kejulingan sejak kecil yang tidak dirawat boleh membahayakan kanak-kanak. Ini kerana, mata yang juling menghalang kanak-kanak melihat
objek dengan jelas.

Pada keadaan biasa apabila mata melihat objek, bola mata bergerak pada satu arah sama. Namun apabila mengalami juling, jika seseorang itu melihat sebelah kiri, hanya sebelah mata bergerak ke arah itu, sedangkan sebelah lagi melihat ke arah lain.
Fenomena itu menyebabkan cahaya yang masuk ke dalam mata difokus ke bahagian yang tidak sama pada retina. Lama-kelamaan mata yang tidak mendapat imej tepat menjadi malas atau ambliopia, yang mengurangkan keupayaan mata untuk melihat dengan jelas.
7. Adakah keadaan berbahaya yang boleh menyebabkan kejulingan?
Anak kecil yang mengalami kejulingan perlu menjalani pemeriksaan kerana mungkin disebabkan penyakit mata seperti barah retina. Pernah terjadi seorang kanak-kanak mengalami masalah kejulingan, tetapi ibu bapanya tidak membawanya menjalani pemeriksaan. Selepas setahun, barah pada retina kanak-kanak itu bertambah besar hingga menyebabkan matanya buta dan membahayakan nyawanya.
8. Apakah penyebab lain kejulingan selain daripada ketika lahir?
Selain yang berlaku ketika kecil, kejulingan boleh berlaku akibat kerosakan pada saraf menyebabkan seseorang, khususnya orang dewasa, mengalami diplopia iaitu mata melihat dua imej, sedangkan hanya satu objek di depan mereka. Hal ini boleh berlaku tiba-tiba.
9. Apa harus dilakukan jika hal ini berlaku?
Jika hal ini berlaku, pesakit perlu segera berjumpa doktor. Kejadian ini mungkin disebabkan kerosakan pada saraf yang mengawal pergerakan bola mata yang terletak di dalam otak. Jika ada penyakit di bahagian otak, kejulingan berlaku tiba-tiba.
10. Apa akan dilakukan doktor dalam keadaan ini?
Ketika pemeriksaan, doktor melihat penyebabnya. Kerosakan itu mungkin disebabkan penyakit kencing manis, barah dalam kepala atau tekanan darah tinggi.
11. Bolehkah barah otak menyebabkan kejulingan?
Mengimbas kembali pengalaman dua tahun lalu, seorang pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) pernah mengalami kejulingan secara tiba-tiba, disertai dengan diplopia (satu objek kelihatan dua). Apabila dibuat pemeriksaan, pelajar itu menghidap barah otak yang serius.
12. Apakah rawatan bagi juling?
Ada beberapa kaedah rawatan kejulingan kurang serius. Ada kejulingan dapat dirawat dengan memakai cermin mata yang tepat. Bagi kanak-kanak pula, masalah ambliopia dapat diatasi jika rawatan dimulakan sebelum berusia sembilan tahun.
13. Kadangkala ada rawatan juling membabitkan cara menutup mata yang normal dan kanak-kanak digalakkan membaca dengan menggunakan mata yang kurang jelas penglihatannya. Apakah ini logik?
Ini adalah kaedah rawatan bagi ambliopia (mata malas). Pesakit diberi rawatan dengan menggalakkan penggunaan mata yang mengalami ambliopia dan menutup mata yang normal. Kaedah itu memaksa kanak-kanak menggunakan mata yang mengalami ambliopia untuk membuat kerja rumit. Bagaimanapun, kaedah itu berkesan sebelum berumur sembilan tahun.
Selepas tempoh itu, perkembangan mata kanak-kanak sudah sempurna dan sukar mengubahnya. Rawatan ini boleh dilakukan di rumah antara tiga dan empat sehari kira-kria tiga jam sehari oleh ibu bapa dengan panduan doktor pakar. Perlu diingatkan, pembedahan atau memakai kaca mata juga mampu memulihkan kejulingan, tetapi bergantung kepada tahap seriusnya masalah itu. Pembedahan bagi mengembalikan kesejajaran mata. Ia mudah dan tidak
bahaya.

Catatan asal : Prof Dr. Muhaya Mohamad

5 comments:

Syukri Mansor said...

Assalamualaikum, so sekarang apekah perkembangan anak akak tentang masalah juling, saya pun mengalami masalah juling sejak setahun yg lalu dan doktor pakar pon dah cakap tak boleh nak buat apa sebab masalah urat saraf yang gagal berfungsi dengan sempurna pada mata kiri saya.

Anonymous said...

assalamualaikum. sya pun mengalami masalah mata juling. pada mulanya juling ini hanya sebab warisan atau memang takdir ilahi namun setelah saya membaca beberapa artikel tentang mata juling ini baru sya tahu juling ini juga adalah suatu penyakit. sya harap masalah ini dapat diatasi oleh saya.

Rosidah(Shidachu) said...

waalaikumusalam. Ada baiknya adik dapatkan pemeriksaan lanjut di hospital pakar untuk mengetahui kedudukan perkara sebenar.Ini kerana masalah mata juling boleh terjadi disebabkan banyak faktor dan puncanya selain daripada juling sejak lahir. Kakak harap adik bersabar dengan ujian Allah...

Anonymous said...

syazwany...
assalamualaikum..sya berumur 15 tahun,sya ad masalah juling sblh mata kiri.sy nk tny akak klau utk kos pembedahan mata adkah mahal byrnny ???

Rosidah(Shidachu) said...

Walaikummussalam...akak mencadangkan agar adik berjumpa dengan doktor pakar untuk mendapatkan info kejulingan mata adik itu dan boleh bertanya juga dengan doktor berkenaan tentang berapa kosnya kalau nak buat pembedahan...harak adik jelas ya.....akak bukanlah pakar dalam bidang ini sekadar berkongsi maklumat saja....